April 20, 2012

Cantik ~~!!


Assalamualaikum w.b.t

Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah sama.

Ada orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan. Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan pada seseorang.


Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain. Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu itu. Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model yang popular.

Sebab apa? Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama antara manusia. Ada orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik,ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam.

Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.

Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini.

Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa. Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan. Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda tidak begitu menarik.

Anda tetap cantik di mata orang yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap anda terhadap sesuatu perkara. Jika anda belum mendapat teman, bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri anda.

Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam islam kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati. Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu.

Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN. Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani. Siapa anda, anda sendiri yang menentukan.

Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu. Itu saja yang membezakan.